Saturday, January 15, 2011

JANGANLAH ENGKAU MERENDAHKAN DIRI KEPADA ORANG KAYA

http://pondokbuku-rkukaudya.blogspot.com/2008_03_01_archive.html


MAJLIS 29
Disampaikan Al-Sayyid Syaikh Muhyiddin Abdul Qadir Al-Jailani di Madrasah al-Ma’murah, hari Selasa, 11 Jamadilakhir 545H

Diriwayatkan dari Rasulullah saw bahawa baginda bersabda yang berbunyi:

“Barangsiapa yang merendahkan diri kepada orang kaya kerana mengharapkan apa yang ada padanya, hilanglah sepertiga daripada agamanya.”

Dengarlah wahai munafik. Ini adalah seorang yang merendahkan dirinya kepada orang kaya, kerana mengharapkan sesuatu daripadanya. Selanjutnya, bagaimana pula dengan orang yang solat, puasa dan haji kerana mereka dan menerima cercaan mereka?

Wahai orang-orang musyrik. Apa yang telah engkau miliki daripada-Nya dan berita apa yang telah disampaikan oleh Rasul-Nya? Islamlah kamu dan bertaubatlah dengan ikhlas sehingga imanmu menjadi bersih, keyakinanmu berkembang, dan pohon tauhidmu tumbuh dengan suburnya sehingga cabangnya menggapai ‘Arasy.

Wahai hamba. Jika engkau memelihara imanmu sehingga pohonnya tumbuh menjulang, maka Allah akan mencukupkan dirimu dengan dirimu sendiri, sehingga engkau tidak memerlukan orang lain. Allah akan mencukupkan keperluanmu, sehingga engkau tidak perlu lagi berusaha dan mencari keuntungan.

Allah Yang Maha Pemurah akan mengenyangkan jiwamu, hatimu dan batinmu, dan ditegakkan-Nya engkau di pintu gerbang-Nya, mencukupkan keperluanmu dengan mengingat-Nya, dekat kepada-Nya dan tenteram dengan-Nya. Sementara engkau tidak memperdulikan mereka yang meratah dan melahap dunia dengan rakusnya dan setiasa sibuk dengannya, engkau juga tidak akan perduli dengan mereka yang menggenggam dunia. Tetapi engkau akan memandang mereka dengan perasaan kasih sayang, kerana mereka berada di dalam kesusahan dan kegelapan.

Wahai orang yang mengaku berilmu. Engkau mengaku berilmu, tetapi engkau memburu dunia dari segala segi dan bentuknya, dan engkau merendahkan diri kepadanya. Allah telah menyesatkan engkau dengan ilmu yang sudah hilang barakahnya. Isinya telah musnah, yang tinggal hanyalah kulitnya.

Sementara engkau wahai orang yang mengaku beribadah, hatimu menyembah makhluk, takut dan berharap kepada mereka. Pada zahirnya engkau beribadah kepada Allah, sedangkan batinnya, ibadah itu adalah untuk manusia. Setiap harapan dan cita-citamu tertuju kepada apa yang ada di tangan mereka, baik berupa dirham, dinar atau harta benda dunia, mengharapkan pujian dan sanjungan daripada mereka. Kamu takut akan celaan dan berpalingnya mereka daripada engkau, takut kepada penolakan dan mengharapkan pemberian mereka dengan banyaknya rayuan, permohonan dan sikap merendah dirimu kepada mereka, serta lemah lembutnya kata-katamu di pintu-pintu mereka.

Celakalah engkau! Kamu musyrik, munafik, riak dan termasuk kepada golongan zindiq. Celakalah engkau wahai orang yang memalsukan diri, tidakkah engkau perhatikan firman Allah yang berbunyi:

“Dia mengetahui (pandangan) mata yang khianat, dan apa yang disembunyikan oleh hati.”
(al-Mu’min: 19)

Celakalah kamu! Engkau berdiri di dalam solat dan lidahmu mengucapkan Allahu Akbar, sedangkan engkau berdusta dalam ucapan itu. Dalam hatimu, manusia adalah lebih agung daripada Allah. Bertaubatlah engkau kepada Allah dan janganlah engkau berbuat kebaikan untuk yang lain selain daripada-Nya, tidak untuk dunia dan tidak pula untuk akhirat.

Jadilah engkau sebagai seorang yang mengharapkan Dzat Allah. Berikanlah hak-hak ketuhanan kepada-Nya, janganlah engkau beramal kerana pujian dan sanjungan, dan jangan pula kerana diberi atau tidak diberi.



Nota: Dalam ‘Majlis 29’ nie ada panjang lagi intipatinya yang ternyata cukup indah dan penuh hikmah untuk dihadamkan. Mudah-mudahan perkongsian yang sedikit dari keseluruhan Majlis 29 ini memberikan manfaat kepada yang membaca. Wsalam.


No comments:

Post a Comment